Sebagai sebahagian daripada pengisian Program Pembudayaan Perkhidmatan Cemerlang Perbadanan Perpustakaan Awam Melaka (PERPUSTAM), telah berlangsung Ceramah “Integriti di Tempat Kerja” yang disampaikan oleh Puan Anuradah A/P Socklingam, Ketua Unit Integriti di Jabatan Ketua Menteri Melaka.
Ceramah ini bertujuan meningkatkan kefahaman dan kesedaran warga PERPUSTAM mengenai kepentingan membudayakan integriti sebagai teras dalam melaksanakan amanah dan tanggungjawab. Pengisian yang disampaikan menekankan bahawa setiap penjawat awam berperanan memastikan tadbir urus yang baik melalui amalan kerja yang telus, beretika, berakauntabiliti dan mematuhi peraturan yang ditetapkan.
Turut dikongsikan ialah kepentingan memelihara integriti dalam membuat keputusan, mengurus sumber organisasi serta melaksanakan tugas dengan penuh amanah dan profesionalisme. Nilai-nilai ini bukan sahaja memperkukuh kecemerlangan organisasi, malah menjadi asas dalam meningkatkan keyakinan serta kepercayaan masyarakat terhadap penyampaian perkhidmatan awam.
Setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih diucapkan kepada Puan Anuradah a/p Socklingam atas perkongsian ilmu, pengalaman dan pandangan yang amat bermanfaat. Semoga segala ilmu yang diperoleh menjadi pedoman kepada seluruh warga PERPUSTAM dalam memperkukuh budaya kerja berintegriti, sekali gus menyokong aspirasi organisasi ke arah penyampaian perkhidmatan yang cemerlang, berkualiti dan berimpak tinggi.









