Berita

Sumber: Melaka Hari Ini

Pautan: https://www.melakahariini.my/wrur-sekolah-rendah-di-sungai-udang-dapat-rm1000-pupuk-budaya-membaca/

WRUR: SEKOLAH RENDAH DI SUNGAI UDANG DAPAT RM1,000 PUPUK BUDAYA MEMBACA

SUNGAI UDANG 20 Mei – Semua sekolah rendah di dalam Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang diberikan peruntukan RM1,000 setiap sekolah bagi memupuk budaya membaca dalam kalangan muridnya.

Perkara itu diumumkan Penyelaras DUN Sungai Udang Datuk Rais Yasin pada Program Komuniti Wakil Rakyat Untuk Rakyat (WRUR): Perpustakaan Dihatiku, Buku Sahabatku di Perpustakaan Desa Bertam Hulu, hari ini.

Rais yang juga Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana negeri berkata, peruntukan tersebut akan disalur terus kepada sekolah bagi menganjurkan apa juga aktiviti atau program bagi menggalakkan anak murid menjadi membaca sebagai amalan.

“Saya minta perkara ini diselaraskan oleh pihak sekolah dan dibantu Perbadanan Perpustakaan Awam Melaka, di mana saya mahu memastikan peruntukan ini digunakan khusus untuk kempen ataupun program bagi menarik minat murid untuk membaca.

“Ini adalah satu usaha yang digerakkan memandangkan aspek pendidikan mesti menjadi suatu keutamaan terutama di peringkat akar umbi,” katanya kepada Melaka Hari Ini selepas program berkenaan.

Hadir sama, Pengarah PERPUSTAM Mohamed Aizammuddy Mohamed Idris.

Terdahulu pada majlis itu, Rais telah menyampaikan sumbangan berkenaan kepada dua buah sekolah pertama iaitu Sekolah Kebangsaan (SK) Bertam Hulu dan Sekolah Jenis Kebangsaan Cina (SJKC) Bertam Hulu.

Dalam pada itu, Rais memaklumkan, Perpustakaan Desa Bertam Ulu yang mula dibina pada tahun 2002, kini berwajah baharu selepas ia dinaik taraf dengan peruntukan berjumlah RM200,000 pada tahun lalu.

Menurut beliau, perpustakaan itu menjadi antara fasiliti yang disediakan kerajaan dalam membantu masyarakat menambah ilmu pengetahuan, di samping menarik minat anak-anak untuk mencintai buku sejak dari kecil.

Sumber: Dewan Masyarakat

Pautan: https://dewanmasyarakat.jendeladbp.my/2025/05/21/29506/

 Perpustakaan Kondusif untuk Kesejahteraan Komuniti

MELAKA – Program “Komuniti Wakil Rakyat untuk Rakyat (WRUR): Perpustakaan Dihatiku, Buku Sahabatku” di Perpustakaan Desa Bertam Hulu telah dirasmikan oleh Penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Udang merangkap Exco Kanan Perumahan, Kerajaan Tempatan, Saliran, Perubahan Iklim dan Pengurusan Bencana Negeri, Yang Berhormat (YB) Datuk Rais Yasin di kawasan Bertam Hulu, semalam.

Masyarakat di kawasan Bertam Hulu dan sekitar kini dapat menggunakan kemudahan Perpustakaan Desa Bertam Hulu dengan lebih kondusif apabila perpustakaan desa itu kini berwajah baharu selepas telah dinaik taraf.

Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Melaka (PERPUSTAM), Yang Berusaha (YBrs.) Encik Mohamed Aizammuddy Mohamed Idris berkata, menerusi peruntukan berjumlah sebanyak RM200,000 daripada Kerajaan Negeri pada tahun lalu, perpustakaan desa itu bukan sahaja menjadi lebih kondusif malah mesra pengguna dan inklusif untuk segenap lapisan masyarakat.

Menurut YBrs. Encik Mohamed Aizammuddy, perpustakaaan itu menyediakan lebih 17,000 naskhah bahan bacaan fizikal yang merangkumi pelbagai genre untuk semua peringkat umur termasuk buku kanak-kanak hingga bahan rujukan untuk dewasa dan umum.

“Selain bahan bercetak, pengguna yang menggunakan perpustakaan di sini turut diberi akses kepada bahan bacaan digital melalui platform e-book  dan sumber dalam talian yang disediakan oleh PERPUSTAM”, tambah beliau lagi.

Justeru, besarlah harapan beliau agar perpustakaan desa ini dapat dimanfaatkan dan menjadi tempat untuk mencari ketenangan dalam pembacaan, tempat berkongsi ilmu dan inspirasi serta tempat menyemai minat membaca dalam kalangan masyarakat keseluruhannnya.

Menurut YBrs. Encik Mohamed Aizammuddy, pelbagai aktiviti menarik melibatkan penyertaan murid-murid dari dua buah sekolah rendah dan dua tadika KEMAS di kawasan Bertam Hulu sempena WRUR Sungai Udang.

Beliau juga berkata bahawa antara program yang diadakan adalah Bengkel Literasi Maklumat, iaitu memperkenalkan medium bacaan digital dan platform pembelajaran dalam talian; zon interaktif dengan memperkenalkan teknologi Realiti Maya (VR) dan asas robotik.

Turut diadakan pertandingan dam gergasi, pertandingan mewarna kanak-kanak, teka berat buku, teka muka surat buku, kuiz kenali perpustakaan serta pameran dan pemeriksaan kesihatan.

 Sumber: Melaka Hari Ini

Pautan: https://www.melakahariini.my/belajar-sambil-akses-internet-percuma-di-perpustakaan-digital/

Berita 23-4

BUKIT KATIL 23 April – Kerajaan Negeri mewujudkan perpustakaan digital sebagai langkah proaktif dalam inisiatif celik digital yang menyediakan kemudahan akses bahan berkenaan secara percuma.

Ia diwujudkan menerusi kerjasama Perpustakaan Awam Melaka (Perpustam) yang sudah mula beroperasi hari ini dengan menyediakan kemudahan sebanyak 10 unit komputer dan 10 unit tablet khusus untuk orang awam.

Ketua Menteri, Datuk Seri Utama Ab Rauf Yusoh berkata perpustakaan perlu berperanan memberi pendedahan dan tunjuk ajar kepada masyarakat mengenai kaedah pencarian maklumat yang sahih dan tepat.

“Saya menyeru Perpustam supaya sentiasa peka perubahan dan cabaran dalam ledakan maklumat dan teknologi tanpa sempadan hari ini terutama dengan kehadiran produk-produk baharu seperti e-Book dan i-Book.

“Kerajaan Negeri sentiasa menyokong usaha Perpustam dengan melanggan pangkalan data dan bahan digital daripada sumber sahih untuk dijadikan sumber rujukan.

“Selepas ini masyarakat boleh mendapatkan kepelbagaian sumber maklumat yang tersedia dalam perpustakaan digital ini dengan lebih pantas dan mudah,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Perpustakaan Digital Sempena Program Baca Bersama 10 Minit Peringkat Negeri Mekaka Tahun 2024 di Dewan Perpustam di sini, hari ini.

Teks ucapan beliau dibacakan oleh Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Rosli Abdullah.

Hadir sama Timbalan Exco Pelancongan, Warisan, Seni dan Kebudayaan negeri merangkap Timbalan Pengerusi Perpustam, Datuk Zaidi Attan; Pengarah Perpustam, Mohamed Aizammuddy Mohamed Idris; Pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Wilayah Selatan, Mohamad Ridhuwan Wahab dan Ketua Pengajian, Pusat Pengajian Sains Maklumat, Kolej Pengajian Pengkomputeran Informatik dan Matematik Universiti Teknologi Mara (UiTM), Dr. Husain Hashim.

Pada majlis itu turut diadakan gimik perasmian perpustakaan digital dan Jom Baca Bersama Untuk 10 Minit Tahun 2024 serta penyampaian hadiah bagi Pertandingan Perpustakaan Keluarga 2023/2024, peminjam aktif 2023 dan Pertandingan Jejak Maklumat.

Mengulas lanjut, Ab Rauf berkata perpustakaan merupakan institusi sosial tertua di dunia berperanan sebagai asas pembangunan masyarakat terpelajar dan celik huruf di negara ini.

“Justeru, ini adalah satu perubahan drastik dilakukan untuk memastikan perpustakaan masih relevan dan menjadi tumpuan rujukan masyarakat,” katanya.

Untuk rekod, perpustakaan digital berkeluasan 371 meter persegi yang mampu menampung seramai 80 pengunjung yang hadir pada satu-satu masa.

Perpustakaan ini juga menyediakan kemudahan kafe bagi memberi pengalaman kepada pengunjung belajar sambil mengakses internet dan jaringan tanpa wayar (WiFi) berkonsepkan restoran makanan segera.

Sumber: Melaka Hari Ini

Pautan: https://www.melakahariini.my/anjung-rumah-jadi-perpustakaan-mini/

Berita 24-4

BUKIT KATIL 24 April – Menjadikan anjung rumah sebagai perpustakaan mini melayakkan seorang warga emas Yahya Yusof, 73, meraih johan dalam Pertandingan Perpustakaan Keluarga 2023/2024 bagi kategori rumah kampung.

Anak jati dari Kampung Kandang ini berkata minat membaca sejak 50 yang tahun lalu tidak pernah terpadam biarpun sudah menginjak usia lebih 70 tahun.

Menurutnya, sehingga kini dia mempunyai lebih 1,000 naskhah buku daripada pelbagai kategori seperti keagamaan, wirid, kenegaraan, novel, komik dan lain-lain.

“Alhamdulillah usaha saya membuahkan hasil, ini merupakan kali keempat masuk pertandingan dan akhirnya saya berjaya dinobatkan sebagai johan.

“Di rumah saya terlalu banyak koleksi bahan bacaan sehingga ada yang terpaksa dilupuskan kerana dimakan anai-anai, ikutkan memang sayang tetapi demi menjaga kualiti buku lain saya terpaksa lakukan.

“Sebab itu saya wujudkan satu ruangan khas di anjung rumah sebagai perpustakaan mini khusus untuk ahli keluarga beriadah sambil membaca sekurang-kurangnya 10 ke 15 minit sehari,” katanya.

Terdahulu Yahya menerima hadiah wang tunai berjumlah RM3,000 beserta hadiah iringan buku RM200 yang disampaikan oleh Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Rosli Abdullah.

Hadiah itu disampaikan pada Majlis Perasmian Perpustakaan Digital Sempena Program Baca Bersama 10 Minit Peringkat Negeri Mekaka Tahun 2024 di Dewan Perpustakaan Awam Melaka (Perpustam) di sini, semalam.

Sementara itu, Mohammad Sufian Talib, 36, yang menetap di Pangsapuri Rakyat Tehel turut bersyukur dinobatkan johan pertandingan yang sama bagi kategori Rumah Pangsa.

“Biarpun rumah saya hanya pangsapuri dan ruangannya terhad, namun saya tiada halangan untuk saya wujudkan satu perpustakaan mini di dalam rumah.

“Disebabkan saya masih menuntut sebagai pelajar Ijazah Doktor Falsafah (PhD), jadi perpustakaan ini sangat diperlukan selain menjadi tempat untuk saya, isteri dan anak meluangkan masa membaca setiap hari.

“Kebanyakan koleksi buku yang ada ini sukar untuk didapati di Malaysia kerana saya lebih gemar kirim kepada rakan-rakan yang melancong ke luar negara untuk membeli buku.

“Alhamdulillah hasil menyertai pertandingan ini juga saya dapat mempelajari teknik bagaimana membuat sistem pinjaman buku dan sistem mencari buku di rak yang sudah tersusun,” katanya.

Sumber: Melaka Hari Ini

Pautan: https://www.melakahariini.my/pesta-buku-melaka-2024-lubuk-pencinta-buku/

Berita 26-9

BANDARAYA MELAKA 26 September – Lebih 40 reruai pameran menyajikan pelbagai genre bahan bacaan untuk dijual pada Pesta Buku Melaka 2024 yang berlangsung bermula semalam hingga Ahad.

Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Wira Ibrahim Durum berkata, acara tahunan itu boleh dijadikan medan yang paling sesuai untuk penulis dan penerbit mempromosi buku-buku terbaharu.

Beliau optimis penganjuran pesta buku itu berupaya menjadi motivasi kepada penulis-penulis untuk terus menghasilkan karya dan penulisan yang berkualiti serta menjadi tempat untuk penerbit-penerbit buku memasarkan buku terbaharu secara terbuka

“Pesta Buku Melaka 2024 bukan sahaja menjadi tempat pertemuan pencinta buku dengan pemain industri buku, tetapi dilihat berperanan besar untuk memupuk semangat membaca selaras dengan hasrat Kerajaan dalam Dekad Membaca Kebangsaan yang menyasarkan Malaysia sebagai sebuah negara membaca menjelang tahun 2030.

“Walaupun berlaku revolusi penulisan dan pengeluaran buku serta saingan dari bahan bacaan digital dan dari sumber internet, Pesta Buku ini terus mendapat sambutan yang baik dan terus mendapat permintaan yang tinggi dalam kalangan masyarakat.

“Buku fizikal masih mendapat tempat dalam kalangan masyarakat berbanding dengan buku digital dan pesta buku menjadi medan paling sesuai untuk penulis dan penerbit promosi buku-buku baharu mereka,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap seterusnya menyempurnakan Majlis Perasmian Pesta Buku Melaka 2024 Anjuran Perbadanan Perpustakaan Awam Melaka di sebuah pusat beli-belah, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Melaka (PERPUSTAM), Mohamed Aizammuddy Mohamed; Pengarah Dewan Bahasa Dan Pustaka Wilayah Selatan, Mohd Riduwan Wahab serta kenamaan lain.

Mengulas lanjut, Ibrahim berkata pesta buku itu turut dinanti-nantikan oleh pencinta buku kerana ia menghimpunkan pelbagai jenis bahan bacaan meliputi pelbagai peringkat umur.

“Penganjuran Pesta Buku Melaka ini merupakan satu inisiatif yang yang cukup baik kerana ia mampu menyuburkan amalan membaca dan seterusnya membantu memperkasakan industri buku negara,” katanya.

Pada majlis itu, Ibrahim turut menyampaikan hadiah Pertandingan Choral Speaking, di mana Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tinggi Perempuan Melaka dinobat sebagai johan.

Sumber: Melaka Hari Ini

Pautan: https://www.melakahariini.my/perpustam-pergiat-kempen-galakan-membaca/

Berita 27-9

BANDARAYA MELAKA 27 September – Perpustakaan Awam Melaka (PERPUSTAM) menerusi 64 buah rangkaian perpustakaan seluruh Melaka komited mengadakan kempen galakan membaca kepada masyarakat setiap masa.

Pengarah PERPUSTAM, Mohamed Aizammuddy Mohamed Idris berkata, Pesta Buku Melaka 2024 adalah antara usaha PERPUSTAM merancakkan lagi industri buku negara.

Katanya, menerusi pesta buku yang dianjurkan saban tahun di lokasi yang sama, ia mampu dijadikan platform untuk memasarkan buku-buku secara terbuka dengan harga yang ditawarkan mampu milik oleh semua golongan masyarakat.

“Pesta Buku Melaka merupakan salah satu program utama PERPUSTAM menerusi Program Galakan Membaca di Melaka yang menjadi pemangkin dalam meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan ilmu pengetahuan.

“Pesta Buku Melaka ini juga memudahkan pencinta buku mendapatkan bahan bacaan di mana ia akan memberi manfaat kepada semua golongan khususnya pelajar,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Pesta Buku Melaka 2024 yang disempurnakan Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Datuk Wira Ibrahim Durum di sebuah pusat beli belah, di sini, semalam.

Mengulas lanjut, Mohamed Aizammuddy berkata, pelbagai aktiviti menarik telah diatur dan disusun sepanjang berlangsungnya pesta buku itu.

“Antara aktiviti yang dirancang dan diatur seperti pertandingan mewarna, bercerita rakyat, tulisan khat, busana tradisional Malaysia, Kalam Jamai’E, Choral Speaking, nasyid, karaoke, exploria dan pelbagai lagi. Turut diadakan sesi bersama Ustaz Selebriti dan penulis-penulis buku terkenal.

“Selain itu, peserta atau pengunjung Pesta Buku Melaka 2024 turut berpeluang menyertai cabutan bertuah yang menawarkan pelbagai hadiah menarik sepanjang berlangsungnya pesta buku itu,” jelasnya.

Sumber: Melaka Hari Ini

Pautan: https://www.melakahariini.my/perpustakaan-jadi-rumah-kedua-ahmad-talhah/

Berita 2023 1

BUKIT BARU 18 Mei – Kerana ‘ketagih’ membaca, perpustakaan awam di Bukit, Baru, di sini, umpama rumah kedua bagi Ahmad Talhah Ahmad Tarmizi, 13,  dan dua lagi adik beradiknya yang kerap menghabiskan masa di gedung ilmu itu setiap minggu.

Malah atas teladan ditunjukkan Ahmad Talhah, dinobatkan sebagai Johan Pertandingan Membaca Terbaik 2022 Kategori Kanak-Kanak Peringkat Negeri, dalam majlis berlangsung di Perpustakaan Awam Melaka, Bukit Baru, di sini, hari ini.

Pelajar Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tun Mutahir ini berkata, biarpun jarak antara perpustakaan dan rumah mereka agak jauh itu bukan penghalang baginya untuk meneruskan minat membaca.

Katanya, ibu bapa memberikan sokongan tidak berbelah bahagi dan sanggup menghantar mereka ke perpustakaan dan menghabiskan masa hampir seharian di situ.

“Saya cenderung memilih buku yang tebal, lebih seronok membaca, jalan cerita atau maklumat yang dikongsi juga lebih banyak.

“Pilihan bahan bacaan saya adalah yang berunsurkan pengembaraan, fantasi dan ilmiah berkaitan kehidupan. Secara tidak langsung saya mendapat tips kejayaan dalam kehidupan,” katanya kepada Melaka Hari Ini.

Terdahulu, kejayaan Ahmad Talhah yang dinobatkan sebagai johan dalam kategori itu diumumkan dalam Majlis Perasmian Jom Membaca Bersama Untuk 10 Minit dirasmikan Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Rosli Abdullah.

Program itu juga turut dihadiri Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Melaka (Perpustam), Mohamed Aizammuddy Mohamed Idris.

Sementara itu ibu Ahmad Talhah, Siti Mariam Hussin, 39, berkata, kejayaan itu merupakan pencapaian terbesar buat anaknya yang sebelum ini pernah dinobatkan sebagai Naib Johan dalam kategori sama pada pada 2019.

Siti Mariam berkata, Ahmad Talhah mula menunjukkan minat membaca sejak berusia dua tahun, malah dia dan suami mengutamakan bahan ilmiah, selain meletakkan penggunaan gajet sebagai pilihan kedua untuk anak-anak mereka.

“Kalau anak-anak mahu bermain gajet kami akan hadkan penggunaannya dan lebih kepada perkara-perkara ilmiah kerana mahu mereka kuasai ilmu di dalam diri,” katanya.“

Pada kebiasaan anak-anak akan menghabiskan masa sekitar empat hingga lima jam di perpustakaan. Semuanya bergantung kepada waktu operasi perpustakaan,” katanya.

Sumber: Melaka Hari Ini

Pautan: https://www.melakahariini.my/membaca-10-minit-setiap-hari-jadikan-amalan/

Berita 2023 2

BUKIT BARU 18 Mei – Amalan membaca sekurang-kurangnya 10 minit setiap hari perlu dijadikan sebagai satu budaya dalam usaha untuk membentuk masyarakat berilmu.

Timbalan Exco Pendidikan, Pengajian Tinggi dan Hal Ehwal Agama negeri, Rosli Abdullah berharap budaya itu diamalkan di setiap agensi dan kumpulan masyarakat.

“Tempoh 10 minit tidak lama, namun jika dijadikan gaya hidup seharian banyak manfaat bakal diperoleh orang yang membaca.

“Kerajaan Negeri menerusi Perbadanan Perpustakaan Awam Negeri Melaka (Perpustam) akan merencana pelbagai lagi program bagi memastikan amalan ini diperluaskan pada masa akan datang,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada Melaka Hari Ini (MHI) pada Majlis Perasmian Jom Membaca Bersama Untuk 10 Minit di Perpustakaan Awam Melaka, di sini, hari ini.

Hadir sama, Pengarah Perpustam, Mohamed Aizammuddy Mohamed Idris.

Sementara itu, Mohammed Aizammuddy berkata, bagi melestarikan amalan membaca dalam kalangan rakyat di negeri ini pelbagai program membabitkan pelajar dan komuniti setempat dijalankan pihaknya.

Mohammed Aizammuddy berkata, bagi meluaskan lagi capaian ilmu pihaknya menggerakkan empat perpustakaan bergerak ke seluruh negeri dengan taman perumahan dan sekolah menjadi persinggahan.

“Malah pelbagai karnival dan aktiviti direncana sepanjang tahun bagi menarik minat orang ramai membaca, ini termasuk menganjurkan pelbagai pertandingan.

“Ogos ini kami anjurkan Karnival Gerakkan Membaca yang bersifat serampang dua mata. Selain meningkatkan pengetahuan menerusi membaca program itu juga menjentik semangat kemerdekaan dalam kalangan rakyat,” katanya.

Sumber: Melaka Hari Ini

Pautan: https://www.melakahariini.my/perpustakaan-keluarga-cetus-amalan-membaca/

Berita 2023 3

BUKIT BARU 19 Mei – Mahu meluangkan masa dan melakukan aktiviti berkualiti bersama keluarga mendorong Zulhashari Salleh, 52, mengubahsuai bilik tidur di kediamannya di Taman Pandan Indah, menjadi sebuah perpustakaan mini.

Zulhashariberkata, idea itu timbul berikutan dia dan keluarga kebosanan terperap di rumah bagi tempoh yang panjang ketika pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lalu.

Bukan sekadar menyimpan bahan bacaan, perpustakaan mini keluarga Zulhashari, dikendalikan secara profesional iaitu dengan mengamalkan sistem rekod, menjilid dan mengkod buku yang sistematik.

“Kami anak-beranak ambil masa empat bulan untuk siapkan perpustakaan itu agar lebih selesa, menarik dan memudahkan anak-anak mengulang kaji pelajaran.

“Selain itu kami turut mendapatkan bantuan daripada Perbadanan Perpustakaan Awan Negeri Melaka (PERPUSTAM) untuk menguruskan gedung ilmu kami secara profesional,” katanya ketika ditemui hari ini.

Terdahulu Zulhasri diumumkan sebagai Johan Pertandingan Perpustakaan Keluarga 2022 Kategori Rumah Taman pada Majlis Perasmian Jom Baca Bersama Untuk 10 Minit di Perpustam, Bukit Baru, di sini, semalam.

Sementara itu, isterinya, Saffanah Mahadami, 48, berkata, keluarganya mula mengambil bahagian dalam pertandingan itu sejak 2019 lagi, namun mereka sekadar menjadi naib juara.

Sumber : melakafirst.com

Pautan  : https://melakafirst.com/2021/03/02/perpustam-terus-dikunjungi/

MELAKA – Tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Bersyarat (PKPB) tidak menghalang orang ramai ke perpustakaan bagi menambah ilmu pengetahuan.

Pengarah Perbadanan Perpustakaan Awam Melaka (PERPUSTAM), Mohamed Aizammuddy Mohamed Idris berkata, pihaknya telah menetapkan beberapa syarat kepada pengunjung mengikut Prosedur Operasi Standard (SOP).

Menurutnya, antara syarat ditetapkan ialah kanak-kanak yang berumur 12 tahun dan ke bawah hanya dibenarkan untuk membuat pinjaman dan pemulangan buku sahaja. Manakala pengguna belia dan dewasa (13 tahun keatas) dibenarkan berada di dalam perpustakaan.

“Selain itu, jumlah pengguna perpustakaan akan dihadkan pada satu-satu masa dengan kapasiti 50% keluasan ruang perpustakaan,” katanya ketika dihubungi MelakaFirst.

Dalam perkembangan sama, Mohamed Aizammuddy berkata, bermula 22 Februari lalu, waktu perkhidmatan di seluruh rangkaian PERPUSTAM di seluruh Melaka kekal seperti biasa kecuali Perpustakaan Komuniti AEON Bandaraya.

Katanya, perpustakaan negeri dan semua perpustakaan cawangan dibuka dari jam 9 pagi hingga 5 petang, Sabtu dari jam 10 pagi hingga 2 petang manakala Ahad dan cuti umum ditutup pada pengguna.

“Perpustakaan pekan dan desa dibuka dari jam 9 pagi hingga 5 petang dari Isnin hingga Jumaat, dan tutup pada Sabtu, Ahad dan cuti umum manakala Perpustakaan Komuniti UTC pula dibuka dari Isnin hingga Ahad dari jam 8 pagi hingga 5 petang dan ditutup pada cuti umum.

“Perpustakaan Komuniti AEON Bandaraya pula dibuka setiap hari termasuk pada cuti umum dari jam 10 pagi hingga 7 malam,” katanya.

MUHAMMAD ZAIDEE DAUT

-MF-

Sumber : melakafirst.com

Pautan  : https://melakafirst.com/2021/01/28/dokumentasi-sejarah-perpustam/

BUKIT BARU – Perbadanan Perpustakaan Awam Melaka (PERPUSTAM) mengambil langkah proaktif mendokumentasikan penubuhan perpustakaan itu sebagai usaha memelihara nilai sejarahnya.

Menurut Pengarah PERPUSTAM, Mohamed Aizammuddy Mohamed Idris, buku berjudul Dari Banda Hilir ke Bukit Baru: Menelusuri Sejarah & Perkembangan Perbadanan Perpustakaan Awam Melaka (PERPUSTAM) 1881-2019 itu berkonsepkan ‘Coffee Table’.

Katanya, ia memaparkan sejarah awal penubuhan perpustakaan yang dikenali dengan nama Malacca Library sebelum ditukar kepada Perbadanan Perpustakaan Awam Melaka.

“Selain itu, buku ini turut memuatkan perkembangan rangkaian, perkhidmatan dan pencapaian yang diperolehi PERPUSTAM sehingga tahun 2019,” katanya.

Majlis pelancaran buku ini disempurnakan oleh Yang di-Pertua Negeri Melaka, Tun Seri Setia Dr. Mohd Ali Mohd Rustam di Dewan Tuah, Perpustakaan Negeri, Bukit Baru, pada 20 Disember lalu bersempena Majlis Sambutan Jubli Emas Persatuan Penulis Negeri Melaka (PENAMA).

Buku ini mendapat sentuhan penulis yang merupakan kakitangan PERPUSTAM iaitu Muhammad Zaidee Daut.

Ia mempunyai 145 muka surat dan dijual pada harga RM50.

Mereka yang ingin mendapatkan buku tersebut boleh menghubungi Raifudeen Abdul Latif di talian 06-2824859.

MUHAMMAD ZAIDEE DAUT

-MF-

Sumber                : Melaka Hari Ini

Pautan                : https://www.melakahariini.my/amalan-membaca-bantu-kemajuan-negara/

Sumber                : Melaka Hari Ini

Pautan                :  https://www.melakahariini.my/km-lawat-utc-melaka/

TOP