Pada 23 dan 24 Jun 2025, satu Bengkel Bercerita telah berjaya dianjurkan dengan jayanya bertempat di Dewan Tuah, Perbadanan Perpustakaan Awam Melaka (PERPUSTAM). Bengkel selama dua hari ini telah menghimpunkan penyertaan daripada kakitangan perpustakaan seluruh negeri Melaka, termasuk wakil dari Perpustakaan Negeri, Perpustakaan Cawangan, Perpustakaan Komuniti dan Perpustakaan Desa.
Bengkel ini dikendalikan oleh Puan Suraya binti Ariffin dari Perbadanan Perpustakaan Awam Perak. Program ini bertujuan untuk memperkasakan kemahiran bercerita kakitangan pembantu pustakawan sebagai satu medium penyampaian ilmu yang berkesan, khususnya dalam menarik minat kanak-kanak dan golongan muda untuk mendekati bahan bacaan dan budaya membaca.
Sepanjang bengkel ini, para peserta telah didedahkan kepada teknik-teknik bercerita yang interaktif, penggunaan intonasi suara, bahasa tubuh, serta kreativiti dalam menyampaikan cerita secara berkesan dan menghiburkan.
Tahniah dan terima kasih diucapkan kepada semua peserta yang telah memberikan komitmen sepenuhnya sepanjang program berlangsung. Semoga ilmu dan pengalaman yang diperoleh dapat dimanfaatkan dalam pelaksanaan aktiviti-aktiviti bercerita di perpustakaan masing-masing, demi menyemarakkan budaya membaca dalam kalangan masyarakat.








